My Life, My Belog

Sunday, 13 July 2014

Petua Hilangkan EyeBag | Petua Pulihkan Sembab Di Mata


DEMAM Piala Dunia sudah hampir tiba ke penghujung, manakala Ramadan pula sudah memasuki fasa pertengahan. Rutin harian anda yang sedikit berubah akibat kegamatan Piala Dunia dan kesyahduan Ramadan pasti menjejaskan waktu tidur anda.

Rutin yang menyebabkan kekurangan waktu tidur ini akan membuatkan mata kelihatan bengkak, tidak bermaya dan menyebabkan kemunculan lingkaran gelap di bawah mata.

Selain daripada tidak mendapat tidur yang cukup, masalah ini juga timbul kerana mata mengalami keletihan akibat terlalu lama menghadap skrin komputer atau membaca buku.

Mata bengkak atau sembab akan mencacatkan penampilan anda sehingga boleh membuatkan seseorang itu hilang keyakinan diri sama ada di tempat kerja, sekolah ataupun ketika menghadiri urusan rasmi.

Walau bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana terdapat beberapa petua semula jadi yang boleh diamalkan bagi mengurangkan masalah mata bengkak dan lingkaran hitam di bawah mata.

Ais

Menggunakan ais adalah cara yang paling mudah bagi mengurangkan masalah ini. Anda hanya perlu sejukkan bahagian sembab dengan ais batu. Jika tidak ada ais batu, anda boleh menggunakan sudu. Masukkan sahaja sudu ke dalam peti ais, setelah sudu tersebut sejuk, lekatkan ia ke bahagian mata yang bengkak.

Teh uncang

Ambil satu teh uncang dan rendam di dalam air panas. Angkat uncang tersebut dan lekapkan di bahagian mata sehingga uncang tersebut sejuk. Kemudian ulang lagi dengan merendam semula uncang teh tersebut ke dalam air panas dan kemudian letakkan di bahagian mata yang terpejam sehingga sejuk. Ulang proses ini dua hingga tiga kali.

Timun

Timun merupakan sejenis sayuran yang bukan sahaja baik untuk kesihatan, tetapi juga baik untuk mata. Kandungan astringent yang terdapat pada timun membantu menyegarkan mata bengkak atau sembab. Sejukkan hirisan timun di dalam peti ais, kemudian letakkan pada kelopak mata selama 10 minit dan rasai perbezaannya.



- Utusan Melayu